KLIK KLIK

29.7.21

TTC's Story #22 : Khidmat Urutan Mamacare

Bismillahirahmanirrahim 
Assalamualaikum w.b.t...... 

Masih menggamit memori 2016.

Hampir setahun aku tidak berurut setelah Tok Cha menjaga cucunya bersalin di Kuala Lumpur. KLIK SINI. Aku masih mencari tukang urut yang menepati rasa firasatku. Namun masih tidak dijumpai. Ye lah, aku tak mau tukang urut yang ada jampi pelik-pelik. Walau pun zaman sekarang serba canggih, jangan tak tahu, masih ada lagi manusia yang pelik-pelik mengamalkan ajaran yang pelik-pelik. Jadi menjadi tuntutan kita untuk mencari tukang urut yang memenuhi syarak.

Suatu hari, kaki aku terseliuh. Keadaannya agak teruk kerana aku tidak mampu berjalan dengan sempurna. Terhencut-hencut. Aku perlu mendapatkan tukang urut dengan segera. Aku menghubungi kawan-kawan untuk mendapatkan nombor telefon mana-mana tukang urut. Tapi masih tak menjumpai. Kebanyakkan mereka biasa menjalani sesi urutan di spa. Dan pihak spa juga, tidak berani untuk mengambil risiko mengenai masalah seliuh. Kaki aku makin bengkak dan berdenyut. Bila berjalan, bertambah sakit. Aku hanya mampu membalut kaki untuk tidak membiarkan ia terus membengkak.

Kemudian aku terjumpa kad perniagaan Mamacare dalam dompet aku. Seingat aku, aku pernah mengikuti Kursus Pengurusan Stress bersama Lembaga Pendudukan & Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN). Waktu kursus itu, pihak LPPKN turut memperkenalkan beberapa orang pengurut bagi mengajar teknik-teknik asas urutan menenangkan otot. Semua pakat berebut untuk diurut oleh pengurut-pengurut bertauliah itu. Memang asyiiiiikkkk. Bila dia sentuh bahagian bahu  dan mula memicit-micit otot, Allah saja yang tahu kenikmatannya. Jari-jemari mereka pandai mencari titik melegakan ketegangan otot tanpa rasa sakit.


Baru aku tahu rupanya Mamacare ini merupakan satu program LPPKN kepada wanita. Mereka ditauliahkan sebagai pengurut di Malaysia. Ahli Mamacare terdapat di seluruh Malaysia.

 

Berbalik pada cerita terjumpa kad perniagaan Mamacare, aku terus menghubungi nombor yang tertera. Tapi nampaknya pengurut tersebut berada di sekitar daerah Kuantan dan aku sangat-sangat perlu diurut dengan segera. Tidak tertanggung lagi sakit kaki yang semakin berdenyut. Pengurut tersebut meminta aku untuk menghubungi rakan Mamacare mereka yang menetap di daerah Pekan kerana aku tinggal di Pekan. Dari situ bermula perkenalan aku dengan Kak Haslina.

Waktu itu, Kak Haslina sedang sibuk. Tapi disebabkan aku perlu diurut segera, Kak Haslina sanggup meluangkan masanya untuk mengurut kaki aku. Pulang dari kerja, aku terus ke bangunan MARA di Pekan. Kak Haslina membuka sebuah kedai disitu. Selain urutan, Kak Haslina juga membuat rawatan resdung dan perkhidmatan menjahit langsir. Kagum dengan Kak Haslina. Sambil mengurut kaki aku, kami berborak-borak. Ada aku bercerita tentang aku yang sedang ikhtiar hamil. Dia pun mengajak aku untuk berurut dengannya sebagai salah satu langkah ikhtiar. Dia bercerita sejarah dia belajar mengurut sehingga ditauliahkan melalui program Mamacare. Kak Haslina juga masih melanjutkan pelajaran dalam bidang urutan di sebuah universiti tempatan. Aku kagum dengan Kak Haslina. Sedar tak sedar, sakit kaki aku makin berkurangan. Alhamdulillah. Sewaktu berurut sambil berborak-borak, sesekali aku terdengar Kak Haslina berselawat. Lebih kurang sejam dia merawat aku, aku bertanya bayaran. Dia kata, “tak pandai juga akak nak letak harga ni, sebab urut kaki saja.” Aku pun dah lupa berapa RM aku bayar dia. Paling aku hargai, Kak Haslina sanggup meluangkan masa untuk mengurut kaki aku, walaupun sebenarnya pukul 5.00 petang itu adalah waktu Kak Haslina tutup kedainya. Dia ada tanggungjawab sebagai isteri dan ibu selepas waktu bekerja. Katanya dia tak sampai hati menolak sebab aku sedang sakit. Allahu, betapa mulianya hati mu, kak. Semoga Allah merahmati mu Kak Haslina.

Waktu pertama kali berurut dengan Kak Haslina untuk ikhtiar hamil, Kak Haslina mengatakan bahawa peranakan aku agak rendah. Mungkin kerana aku terlalu lasak, kerap angkat barang-barang berat dan kurang rehat.

Sejak 2016 hingga 2019 aku setia berurut dengan dia. Boleh kata setiap 3 bulan atau 4 bulan aku akan berurut di kedai Kak Haslina. Macam-macam cerita dan pengalaman dikongsikan dengan aku. Sampai suatu hari dia berkata “akak tak tahu kenapa akak boleh cerita semua ni kat awak.” Aku senyum saja. Mungkin Kak Haslina berasa selesa. Banyak juga petua-petua dikongsikan dengan aku. Aku berhenti berurut sejak mula Perintah Kawalan Pergerakan 2020. Aku berharap dapat jumpa Kak Haslina lagi selepas Malaysia bebas Covid19.

Nampaknya harapan aku hanya tinggal harapan. Disember 2020 aku dapat khabar yang Kak Haslina telah pergi menemui Yang Maha Pencipta akibat sakit yang dialaminya. Allahu. Aku tidak percaya. Aku buka facebook. Ya, ternyata berita itu benar. Arwah baru 'pergi' sebulan yang lalu. Aku sedih. Bukan kerana tak dapat berurut dengan arwah, tapi arwah terlalu baik. Berada bersamanya membuatkan aku rasa seronok. Mendengar cerita-cerita arwah membuatkan aku banyak belajar. Arwah tidak membuat aku rasa ada jarak antara pelanggan dan peniaga, tapi lebih kepada hubungan adik dan kakak. Arwah sangat tidak kedekut ilmu. Bukan saja ilmu perurutan malah ilmu berkaitan rumahtangga. Aku mengkagumi arwah yang merupakan seorang isteri yang sangat taat terhadap suaminya, sangat baik, menghiburkan, kreatif dan aktif. Arwah juga seorang ibu yang berfikiran terbuka dan sentiasa memberi yang terbaik untuk anak-anaknya. Aku ingin mencontohinya.

Antara pesanan dan petua arwah adalah :

  • Elak makan makanan sejuk.
  • Doa dan kawal emosi – jangan terlalu stress dan kurangkan beban kerja.
  • Jangan buat kerja berat.
  • Luangkan masa dengan lebih kerap bersama suami.
  • Rajin buat senaman kagel.
  • Setiap apa yang kita fikir, kita buat dan kita sebut, itu semua adalah doa. Jadi sentiasalah    bayangkan yang positif.

Doaku semoga Allah merahmati dan menempatkan arwah bersama para solihin. Amiin Yaa Rabbal Alaamiin. Al-Fatihah disedekahkan untuk arwah Kak Haslina.

Ikuti TTC's Story aku : KLIK SINI.

 Terima kasih meluangkan masa di blog ini.

“Hidup biar berbakti. Ilmu biar dikongsi. 
Semoga menjadi asbab mengalirnya pahala kebaikan di negeri abadi.”

12 comments:

  1. Orang baik selalu nya pergi dulu...
    Semoga roh arwah ditempatkan di kalangan mereka yang solehah disisiNYA... amin insyallah

    ReplyDelete
  2. Ya..orang baik mmg pergi dulu...
    Al-fatihah untuk arwah...
    Cerita pasal urut dah dkt 7 bulan tak kena uli badan ni..dah start sengal2 n lemau..

    ReplyDelete
  3. Innalillahiwainnailahirajiun.
    Moga segala kebaikan yang dicurahkan akan diamalkan oleh SS untuk ikhtiar mengandung.
    Sedih jumpa orang yang baik dan sesuai dengan kita, sudah terlebih dahulu berjumpa dengan Pencipta.

    ReplyDelete
  4. semoga tenang rohnya disana..kenangan dan nasihat tetap kekal dlm ingatan..

    ReplyDelete
  5. Amatlah penting berurut dgn tukang urut yg serasi dgn kita...

    ReplyDelete
  6. Namun elakkan berurut semasa pandemik sekarang. Mak sedara saya positif covid-19 selepas urut bersalin. Rupa-rupanya tukang urut terlebih dahulu positif. Masalahnya, dia pun tak tahu sebelum tu

    ReplyDelete
  7. Bagusnya pesanan yang ditinggalkan arwah itu. Moga roh arwah Kak Haslina tenang di sana.

    ReplyDelete
  8. Innalillah....
    Semoga rohnya dirahmati Allah

    ReplyDelete
  9. Al fatihah
    betul susah nk cari yg betul2 mengurut elok
    cam di kg

    ReplyDelete
  10. Allah. Terkejut baca berita yang disampaikan. In sha Allah petua yang akak urut tu bagi akak share pla dengan orang lain.

    Semoga arwah ditempatkan dengan para solihin

    ReplyDelete
  11. Last berurut dengan mak Syu. Tak ingat bila. Tapi tak serasi😅. Bila mak urut Syu, Syu macam tak rasa apa😂. Orang lain elok jer bila berurut.

    ReplyDelete

Klik Sekali