Air merupakan perkara asas kehidupan. Kalau terjejas, memang akan terjejas jugalah rutin hidup. Boleh jadi stress dibuatnya.
Krisis air di Selangor ni memang boleh jadi cerita lagenda agaknya. Satu dunia tahu tentang permasalahan ini. Bukan sekali dua, tapi dah bertahun-tahun lamanya. Rakyat Selangor dah boleh jadi ninja angkut air setiap kali krisis ini berlaku. Allahu.
APA PUNCA GANGGUAN AIR DI SELANGOR?
1. Pencemaran Sumber Air: Kegiatan industri dan pembuangan sisa yang tidak terkawal menyebabkan pencemaran di sungai-sungai utama seperti Sungai Selangor dan Sungai Semenyih. Contohnya, pencemaran bau pada 22 September 2022 di Sungai Gong yang mengganggu Loji Rawatan Air (LRA) Langat. Sumber
2. Kelewatan Projek Infrastruktur: Projek penting seperti LRA Langat 2 mengalami kelewatan yang ketara. Seharusnya siap pada 2019, namun hanya dijangka siap pada 2025. Kelewatan ini menjejaskan kapasiti rawatan air dan kestabilan bekalan. Sumber.
3. Kekurangan Infrastruktur dan Paip Usang: Paip lama yang bocor menyebabkan pembaziran air dan gangguan bekalan. Air Selangor berhasrat menggantikan 300 km paip setahun mulai 2024, dengan sasaran 5,000 km dalam 15 tahun . Sumber.
4. Gangguan Bekalan Tidak Dijadualkan: Kejadian gangguan bekalan air yang tidak dijadualkan sering berlaku, menyebabkan kesulitan kepada pengguna. Kerajaan Selangor telah menggariskan empat strategi untuk menangani isu ini, termasuk pengambilan air mentah dari Sungai Rasau dan tindakan penguatkuasaan terhadap pencemaran sungai. Sumber
![]() |
Sumber : MalaysiaGazette |
Cerita Julai 2024, empat LRA terpaksa dihentikan sementara akibat pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah, Keadaan ini menjejaskan bekalan air di tujuh wilayah utama di Lembah Klang. Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesan bahawa pencemaran bau disebabkan oleh kebocoran bahan kimia Poly Metha Acrylic Acid (PMAA) dari sebuah premis yang memproses bahan akrilik di kawasan perindustrian Jalan Kampung Orang Asli, Kuang, Rawang. Bahan ini tumpah ke longkang dan akhirnya mencemari Sungai Kuang, yang merupakan anak sungai kepada Sungai Kundang dan Sungai Sembah . Gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan tujuh wilayah: Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, dan Kuala Selangor. Air Selangor menyediakan bantuan alternatif melalui lori tangki ke premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis, dan upacara pengebumian . JAS menahan dua individu yang dipercayai bertanggungjawab atas kebocoran bahan kimia tersebut. Arahan telah dikeluarkan untuk membersihkan kawasan terjejas, termasuk premis, longkang, dan anak sungai . Sumber
![]() |
Sumber : Google |
KRONOLOGI GANGGUAN AIR DI SELANGOR
2005-2008 : Selangor dah mula hadapi masalah kekurangan bekalan air bersih akibat permintaan yang semakin tinggi dan kapasiti loji yang terhad. Sumber
2010-2013 pula muncul isu perjanjian penstrukturan industri air antara kerajaan negeri Selangor dengan Kerajaan Persekutuan, yang tertangguh lama sebab pertikaian politik dan pengambilalihan syarikat konsesi (SYABAS, Puncak Niaga dll.). Sumber
2014 adalah tahun paling 'trauma' bagi rakyat Selangor — masa tu berlaku gangguan besar-besaran hampir setiap bulan, dan beberapa kawasan terputus air selama berhari-hari. Punca masa tu banyak berkait dengan loji rosak, paip pecah, dan pencemaran sumber air. Sumber
2019 & 2020, krisis air makin teruk bila pencemaran Sungai Selangor (akibat kilang haram & tumpahan bahan kimia) menyebabkan henti tugas loji rawatan air dan berjuta rakyat terkesan—lebih 1 juta akaun pengguna terjejas masa tu. Sumber
2020 hingga kini, walaupun loji rawatan baru (Loji Sungai Rasau & Loji Langat 2) diperkenalkan, gangguan masih berlaku — selalunya berpunca dari kerosakan teknikal, pencemaran sumber air, atau kerja-kerja penyelenggaraan.
TAK ADA APA-APA INIASITIF PENYELESAIAN?
Ada. Antara langkah-langkah inisiatif yang telah diambil oleh pihak bertanggungjawab adalah :
1. Peningkatan Infrastruktur
Air Selangor telah meningkatkan margin rizab air kepada 18.6% pada 2024 dan mensasarkan 20% pada 2030. Ini dicapai melalui pemantauan empangan dan penyelesaian projek LRA Langat 2 secara berperingkat. Sumber.
2. Pelan Induk Pengurusan Air
Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan RM2 juta untuk membangunkan pelan induk pengurusan air yang komprehensif, termasuk pengurusan banjir, air mentah, air terawat, dan penggunaan tenaga lestari. Sumber.
3. Pematuhan Piawaian Kualiti Air
Air Selangor berjaya mematuhi piawaian Kualiti Air Minuman Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebanyak 99.92% pada tahun lepas, menunjukkan komitmen terhadap kualiti air. Sumber.
SS sendiri turut berasa sedih dengan apa yang berlaku. Krisis air di Selangor ni sebenarnya dah lebih sedekad, dan jadi isu berulang-ulang, bertahun-tahun. Mesti mereka rasa letih dan hilang kepercayaan dengan pengurusan bekalan air di Selangor.
Secara jujur, memang rasa kecewa apabila isu ni masih berulang tahun demi tahun. Air tu keperluan asas setiap orang. Apabila gangguan berlaku, bukan setakat tidak boleh mandi atau masak, tapi boleh jejaskan kesihatan, ekonomi, sekolah, hospital, acara pengebumian dan banyak sangat kesan rantaiannya.
Lagi geram apabila puncanya kadang-kadang dari kelalaian manusia seperti kilang haram buang bahan kimia atau sistem penyelenggaraan yang tidak efisien. Bila benda sama ulang balik walaupun loji baru sudah dibina. Ya, memang manusia itu sifatnya membuat silap. Tapi bukankah akal juga diberi supaya kita berfikir untuk memperbaiki setiap kesilapan?. Tapi, untuk isu yang masih sama dan berulang-ulang ini, di manakah silapnya?
Pada Disember 2022, Suhaimi Kamaralzaman, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Air Selangor telah meletak jawatan selepas kontraknya tidak diperbaharui. Keputusan ini menimbulkan persoalan mengenai sebab sebenar di sebalik peletakan jawatannya memandangkan beliau memainkan peranan penting dalam usaha penstrukturan semula industri air di Selangor. Menurut laporan dari The Edge Malaysia, salah satu punca utama adalah perbezaan pendapat antara beliau dan kerajaan negeri Selangor mengenai isu pelarasan tarif air. Sumber
Manakala Adam Saffian Ghazali ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), berkuat kuasa 15 Julai 2024. Beliau menggantikan Ir. Abas Abdullah yang berkhidmat sebagai Pemangku CEO dari 1 Januari 2023 hingga 30 Jun 2024. Beliau mencadangkan supaya lebih banyak pelaburan swasta dibuat untuk kuatkan sistem bekalan air, kerana permintaan makin tinggi dan tarif sekarang tak cukup nak tampung kos operasi. Tapi cadangan tersebut menimbulkan kerisauan sekiranya kebergantungan pada peruntukkan swasta, tarif air akan naik dan ditanggung oleh pengguna. Turut menjadi persoalan sekiranya syarikat swasta yang dilantik dapat menguruskan kewangan dengan cekap dan telus?. Nampaknya perlantikan ini masih tiada perubahan untuk menyelesaikan krisis air ini.
Krisis air di Selangor adalah isu kompleks yang memerlukan kerjasama antara kerajaan, agensi berkaitan, dan masyarakat. Walaupun terdapat usaha berterusan untuk memperbaiki sistem bekalan air, cabaran seperti pencemaran sumber air dan kelewatan projek infrastruktur perlu ditangani dengan lebih efektif. Kesedaran dan tindakan bersama amat penting untuk memastikan bekalan air yang berkualiti dan berterusan di Selangor
Harapan ni mungkin nampak besar, tapi benda besar selalunya bermula dari kesedaran yang kecil.
Comments
Post a Comment